Thursday, 20 September 2012

BILA THINKING THINKING, THINK TWICE ... at least

Bila dapat terluang masa borak-borak lama sikit barulah dapat dengar dengan jelas lontaran-lontaran pandangan yang lewa. Apa maksud lewa itu? Maksudnya perlakuan tanpa diiringi akal. Lawan lewa ialah takut. Mata kita memandang, otak merumus, akal menilai. Tapi manusia kebanyakannya memandang dan merumus sahaja membuta tuli tanpa membenarkan akal mendominasi minda. Ada yang ikut hati. Apa kata hati itulah yang diluahkan oleh bibir.

Pedih telinga mendengar soalan keramat yang dilontarkan. Namun tidak mengapa. Mungkin ada salah dan silap diri sendiri sehingga yang hanya berlegar di luar jendela enak berjual beli kata tanpa endah. Sungguhpun pedih, tetap dicuba jauhkan segala kemarahan agar diri sendiri tidak melatah sia-sia. Pintu dibuka luas agar diri tiada salah pengertian.

Selagi waras, pastikan setiap perbuatan atau tutur kata dinilai oleh akal sebelum direalisasikan. Buang jauh prasangka buruk dan seringlah kita salutkan pakaian minda yang indah-indah buat saudara kita. Biarlah amalan kita yang kita sentiasa harapkan keberkatan Allah SWT terus menerima keberkatan berlipatganda dengan sentiasa mendoakan kejayaan rakan-rakan, bukan dengan mempersenda dan merendah-rendahkan mereka.

Usahlah masa mu dibazirkan dengan perkara-perkara yang tidak membuatkan dapur mu berasap. Sekiranya anda ketua keluarga, langkah lah seawal pagi sebelum matahari menampakkan wajah, dengan niat mencari rezeki demi merubah nasib anak-isteri serta diri-sendiri. Usai sudah tugas yang diamanahkan, langkah pulang dengan senyum puas dan jadilah kamu imam kepada isteri dan anak-anak kamu. Insya Allah, tertutup hatimu bagi melakukan perkara-perkara yang memudharatkan.

Di zaman teknologi yang terlalu canggih dan pantas ini, usah terlalu gemar berstatus tanpa memikirkan impak kepada masyarakat sekeliling, sedangkan istana kecil kita pun belum tentu bergemerlapan dengan cahaya iman yang indah. Selalulah menganggap diri kita terlalu kerdil agar kita tidak lalai berdoa dan mendoakan. Tidak akan Allah SWT ubah nasib seseorang itu selagi dia tidak merubah nasibnya sendiri.

Jadilah kita manusia yang takut, bukan yang lewa.  Takut akan membuatkan kita awas dan sentiasa ingin memperbetulkan hijab qalbu.  Wallahu a'lam bish-shawabi.

Sunday, 16 September 2012

DRAMA MELAYU

Semenjak dua menjak ni jarang sangat aku dapat peluang menonton TV.  Mana taknya, si kenet aku conquer tengok cartoon.  Ada buku nak di baca tak lah aku kisahkan sangat.  Kalau Haifa sibuk dengan mainan barulah ada peluang.  Pusing-pusing channel terjumpa aku slot drama Melayu bersiri. Tengok tengah- tengah jalan cerita mana la nak tau ujung pangkal. Tapi gagah jugaklah menghayati.  Hal 2 puak bertelagah.  Puak A ramai.  Puak B cuma seorang.  Sekali pandang tak tahu la siapa yang betul.  Bila dah lama tu faham lah aku duduk benar nya cerita.  Bila dah banyak sejarah satu persatu orang lari dari menjadi kawan, maka tahulah penonton memihak.  Kelakar je aku rasa drama ni.  Masing2 guna ayat sama je, Allah akan tunjukkan kebenaran.  Ha, betullah tu.  Satu persatu ditunjukkan.  Kalau aku jadi si B, aku diamkan je.  Cakap banyak2 pun tak guna.  Otak kalau dah taksub memang hilang habis rasa malu.  Semua buruk orang nak ditayangkan.  Last-last buruk sendiri jugak yang terdedah.  Walau itu satu drama tapi memang itulah hakikat kehidupan.  Kalau kita rasa terainaya dengan perbuatan orang, sebaiknya kita diamkan saje.  Masa pasti akan membuktikan keburukan sebenar orang itu.  Dalam hidup pun kita tak perlu ramai kawan.  Cukuplah dua tiga orang yang fahami diri kita dan terima kita seadanya. Ramai yang akan buat bermacam-macam nak tengok kita jatuh.  Mereka tidak langsung akan rasa bersalah bercerita hal yang tidak benar demi kepentingan sendiri.  Dunia ni luas, tapi luas mana sekalipun, akan ada suatu ketika kita rasa kecik je.

Saturday, 15 September 2012

DIA SEGALANYA

Baru tadi aku selesai membaca novel DIA SEGALANYA.  Semenjak habis belajar ni, tak putus-putus aku membeli novel-novel Melayu.  Kebanyakkannya lebih kepada yang ada bait-bait lucu dan seluruh penceritaan ceria dan bagus dijadikan panduan.  

Dulu-dulu aku suka jugak membaca novel, tetapi kebanyakannya novel Inggeris.  Sesekali aku akan membaca novel Melayu.

DIA SEGALANYA ni tebal betul.  1112 muka surat.  Aku mula membaca sewaktu di dalam penerbangan minggu lepas.  Ceritanya mengenai tentang perasaan seorang lelaki yang sangat-sangat mencintai adik bongsunya yang merupakan anak angkat kepada keluarga dia.  Kerana takut cintanya bertepuk sebelah tangan dan ditentang oleh keluarga, terutama Papanya, macam-macam dia lakukan agar dia dapat membendung perasaan agar tidak jelas di mata semua.  Rahsia dia hanya diketahui oleh Atuk dia dan kawan karibnya.

Dia sanggup belajar sampai ke UK semata-mata nak hilangkan perasaan itu.  Tapi dia kalah.  Sekembali ke tanahair perasaan itu makin mekar.  Dia sudah tidak boleh berenggang dengan adiknya.  Dalam masa yang sama, di hati adiknya itu turut berputik rasa cinta.  Tetapi masing-masing tidak mengetahui apa yang ada dalam hati orang yang mereka cintai itu.  Sesuatu terjadi yang membongkarkan rasa hati tetapi agak kelewatan kerana si adik mengidap leukimia pula.  Si adik tidak mahu si abang angkatnya berharap lalu pergi dengan keadaan dah macam nyawa-nyawa ikan.  Bila keadaan dah terdesak, si adik terpaksa juga bercerita kepada seluruh keluarga dan rumah sakit dah jadi rumah ke dua tempat berhimpunnya semua keluarga.  Si abang dah tak boleh tahan lalu luahkan semuanya kepada keluarga.  Sebijik penumbuk hinggap di pipi.  Abang sulung bagi hadiah.  Tapi dia tak putus ada dan dia rayu dan rayu Papanya supaya mengizinkan dia menikahi adik angkatnya itu.  Last-last, biasa lah kan, si Papa berlembut hati setelah dipujuk Mama.  Mama bagitahu pada Papa, dia boleh saja realisasikan permintaan anak teruna dan anak angkatnya itu, tetapi dia tak mahu menjadi isteri yang derhaka.  Tambah dia lagi, anak angkat tetap bukan muhrim dan tidak akan mungkin halal sentuhan walaupun di hati dah macam darah daging sendiri.  Biarlah anak angkat itu menjadi menantu di dalam keluarga mereka.  Menantu dah sememangnya akan menjadi anak mereka dan tidak akan ada jurang lagi.   Dengan ayat itu hati Papa berlembut dan mereka segera dinikahkan.

Yang jadi masalahnya si anak angkat tu dah asyik tak sedarkan diri sebab keadaan dah makin serius.  Tak de sapa pun boleh derma sum-sum tulang.  Semua pun apalagi, panik tak terkata.  Yang si abang merangkap suami tadi macam dah hilang segala harapan.  Di suatu malam, setelah seminggu isterinya tidak sedarkan diri, kena bantu dengan alat pernafasan, dia berteleku di sejadah dan berdoa di dalam bilik di mana isterinya di letakkan, air mata pun dah tak ada langsung masa tu, sambil berkata, dia rela sekiranya sampai di situ sahajalah kisah mereka, biarlah isterinya bebas dari seksaan.  Usai dia berdoa dia terus berbaring di sisi isterinya.  Keesokan harinya isteri dia sedar dan berita gembira juga sampai ke pengetahuan mereka, salah seorang rakan mereka dapat menderma sum-sum tulang.

Si penderma ni sebenarnya seorang gadis China yang sama-sama belajar di UK.  Gadis ni masa di UK dah lali dengan sifat si lelaki ni suka mabuk dan berpoya-poya di club tempat dia buat part time.  Lelaki itu selalu membela dia bila dia sering menerima usikan dari lelaki-lelaki miang di club tempat dia bekerja.  Lelaki itu juga ada bercerita tentang sebab dia melakukan semua itu (nak hilangkan perasaan cinta pada adik angkatnya itu) Sekembali di KL dia bertemu kembali dengan si lelaki tersebut dan teruja dengan kecenderungan lelaki itu mahu kembali ke jalan Allah (sebelum ni sedikit sebanyak adik angkatnya dah ajar segala ayat-ayat di dalam solat yang dia dah tinggalkan, sampai merah padam tapak tangan kena rotan sebab sebutan tak betul).  Dalam diam gadis China itu turut tertarik dan bertukar ke agama Islam.

Ujung-ujung nya faham-faham je lah kan ... they live happily ever after.  Hehe.

Sebenarnya, cerita-cerita fiksyen memang dah boleh diagak jalan cerita, tetapi penulis sangat pandai menerbitkan situasi-situasi yang diluar jangkaan.  Itu yang membuatkan aku ralit membaca sehigga selesai, walaupun tercuri-curi masa memandangkan di siang hari aku terikat dengan hal-ehwal pejabat.
Inilah bukunya, tebalkan?  2 tahun si penulis ambil masa nak siapkan.  Namun aku rasa, ketebalan mukasurat boleh dinipiskan kerana banyak situasi yang berulang-ulang dan tidak penting.  Tapi tebal-tebal macam ni ada baguih jugak.  Aku nak tinggalkan di pejabat.  Bila ada yang susah sangat nak gerak bila suruh, aku lemparkan aje ke muka biar hilang biul.

         

PERTANYAAN

Sebelum aku terbang ke Australia aku terima satu SMS.  SMS tu berbentuk pertanyaan.  Terkedu sungguh aku dengan pertanyaan itu.  Kepala yang tak gatal aku garu-garukan.  Pening juga memikirkan.  Kelakar pun ada juga.

SMS itu datangnya dari Sarah, anak sulungku.  Dia tanya samada dia boleh menikah tak kalau masih lagi belajar.  Macam mana ni???  Dengan siapa???  Setahu aku dia tiada berkawan dengan mana-mana lelaki secara serius.  Sememangnya anak-anak aku sangat arif tentang pandangan aku yang tidak langsung gemar mereka menjebakkan diri ke alam percintaan selagi masih belajar.  Bukan lah aku ni strict sangat sampai berkawan pun tidak boleh.  Tambahan mereka bersekolah di sekolah campur.  Rasa minat-meminati tu lumrah lah kan.  Tapi aku selalu pesan.  Biarlah berkawan secara berkumpulan.  Dahulukan pelajaran.  Belum lagilah sehingga ke saat ini, kedua-dua anak dara aku yang berusia 19 dan 18 tahun keluar berdating-dating.  Safura, anak yang ke dua tu, langsung dah jadi anti-sosial, jadual dia seharian kolej-rumah-buku.  Ada lah jugak bagus nya macam tu.  Dia tahu dia kurang dari segi IQ berbanding Sarah.  Dia perlu up kan dirinya agar apa yang diinginkan menjadi kenyataan.

Berbalik kepada Sarah dan pertanyaannya.  Aku rasa aku tidak ada jawapan lagi untuk itu tetapi aku cuba selami apa yang ada di hati dia.  Of course soalan pertama aku, "dengan siapa?".  Dia kata secara umum je, bukan ada specific guy pun.  Dia cuma meminta pandangan sekiranya dia berkenan dengan sesiapa dan terus menikah tanpa bercinta.  Maksudnya perkenalan yang diaturkan oleh Ustazah-ustazah yang dia rapat.  Aduiii, lagi la aku pening.  Kalau diikutkan hati memang aku tidak sanggup lagi nak kongsi anak aku dengan orang lain.  Biarlah dia orang duduk bawah ketiak aku sampai ke tua.  Aku takut kalau-kalau hati mereka dilukai.  Hidup berumahtangga ni bukan perkara kecil dan boleh mencapai keputusan di dalam masa yang singkat.  "Dah solat istikharah?"  aku bertanya.  Dia kata dah dan tak berapa jelas pulak aku tentang petunjuk yang dia explained.  Ish, kalut aih.  Sarah ni memang berpegang kuat kepada memohon doa dan bersolat sunat.  Masa dia di sekolah menengah dulu, nak berlumba lari sewaktu di hari sukan sekolah pun dia solat hajat.

Tadi masa aku hantar dia ke spa untuk facial, fikiran aku berlegar semula tentang pertanyaan dia tempoh hari tu.  Namun aku diamkan saja.  Dari mula pertanyaan itu dilontarkan sehinggalah ke hari ini, aku tak putus-putus berdoa agar apa pun yang dia lalui dan bakal tempuhi, biarlah segalanya yang terbaik untuk dirinya dan agamanya.  Tapi ada lagi satu soalan yang dia tanya tadi sebelum sampai ke destinasi.  Dia tanya boleh tak dia buat double Master nanti.  Haaa ... yang tu aku happy je mendengarkan dan memberikan persetujuan yang tidak berbelah-bahagi.  Sekurang-kurangnya aku tahu dia sangat mementingkan pembelajaran.

SMS dia aku akhiri dengan mengatakan kalau dah jodoh Insya Allah tidak akan ke mana.  "thanks Ma.  Nice advise" dia membalas.

Hmmmm ... biarlah yang terbaik dan di pihakku hanya doa sahajalah yang dapat aku iringi.