Thursday, 20 September 2012

BILA THINKING THINKING, THINK TWICE ... at least

Bila dapat terluang masa borak-borak lama sikit barulah dapat dengar dengan jelas lontaran-lontaran pandangan yang lewa. Apa maksud lewa itu? Maksudnya perlakuan tanpa diiringi akal. Lawan lewa ialah takut. Mata kita memandang, otak merumus, akal menilai. Tapi manusia kebanyakannya memandang dan merumus sahaja membuta tuli tanpa membenarkan akal mendominasi minda. Ada yang ikut hati. Apa kata hati itulah yang diluahkan oleh bibir.

Pedih telinga mendengar soalan keramat yang dilontarkan. Namun tidak mengapa. Mungkin ada salah dan silap diri sendiri sehingga yang hanya berlegar di luar jendela enak berjual beli kata tanpa endah. Sungguhpun pedih, tetap dicuba jauhkan segala kemarahan agar diri sendiri tidak melatah sia-sia. Pintu dibuka luas agar diri tiada salah pengertian.

Selagi waras, pastikan setiap perbuatan atau tutur kata dinilai oleh akal sebelum direalisasikan. Buang jauh prasangka buruk dan seringlah kita salutkan pakaian minda yang indah-indah buat saudara kita. Biarlah amalan kita yang kita sentiasa harapkan keberkatan Allah SWT terus menerima keberkatan berlipatganda dengan sentiasa mendoakan kejayaan rakan-rakan, bukan dengan mempersenda dan merendah-rendahkan mereka.

Usahlah masa mu dibazirkan dengan perkara-perkara yang tidak membuatkan dapur mu berasap. Sekiranya anda ketua keluarga, langkah lah seawal pagi sebelum matahari menampakkan wajah, dengan niat mencari rezeki demi merubah nasib anak-isteri serta diri-sendiri. Usai sudah tugas yang diamanahkan, langkah pulang dengan senyum puas dan jadilah kamu imam kepada isteri dan anak-anak kamu. Insya Allah, tertutup hatimu bagi melakukan perkara-perkara yang memudharatkan.

Di zaman teknologi yang terlalu canggih dan pantas ini, usah terlalu gemar berstatus tanpa memikirkan impak kepada masyarakat sekeliling, sedangkan istana kecil kita pun belum tentu bergemerlapan dengan cahaya iman yang indah. Selalulah menganggap diri kita terlalu kerdil agar kita tidak lalai berdoa dan mendoakan. Tidak akan Allah SWT ubah nasib seseorang itu selagi dia tidak merubah nasibnya sendiri.

Jadilah kita manusia yang takut, bukan yang lewa.  Takut akan membuatkan kita awas dan sentiasa ingin memperbetulkan hijab qalbu.  Wallahu a'lam bish-shawabi.

No comments:

Post a Comment