Malam tadi aku cuba buat design baru menyulam manik ... wah, menjadi ... best! Bila mata dah agak keletihan aku turun ke bawah membancuh secawan oats ... mengecapi keenakan sambil bersandar di kepala katil, menonton Scream 4 (yang tak scream pun). Haifa lena dah disebelah setelah tak henti-henti berceloteh. Agak baru je aku nak bersantai sambil berulang-ulang sudu dibawa ke mulut aku terkaget ... Haifa bangun sambil rambut mengurai dan memandang aku seraya berkata, "Mama, izinkan saya ke tandas," ... tersedak aku sekejap ... aku minta dia mengulang ... masih ayat yang sama ... lalu aku pun berkata, "ye, Mama izinkan, silalah." Waaah, sopan dan santun sungguh. I like!!!! Sekembali je dia ke katil tersengeh je bila aku mengulang ayat mohon izin dia tadi. Cerah pulak mata dia lepas tu dan terus menemani aku menonton.
Haifa ni sangat peka lah. Itu yang buat aku rindu sangat bila di pejabat. Ada je idea dia yang menggeletek pintu hati aku ni.. Dah setahun setengah dia menempuh alam persekolahan, tak pernah sehari pun dia tak ceria bila tiba masa nak bersiap. Sekali gerak dia dah bangun, kadang-kadang azan subuh berkumandang dia dah celek sendiri dan tau-tau dah ada di belakang aku siap dengan bertelekung.
Otak dia macam aku jugak rasanya, tak boleh berhenti memikir. Ada saje yang dia akan lakukan. Balik je dari sekolah dia terus bertukar baju. Kalau aku balik makan tengahari, terkedek-kedek dia datang sambil bimbit beg berisi telekung sebaik je aku melangkah kaki ke bilik untuk solat zohor. Selesai semua dia buat kerja sekolah (kalau ada) ... kalau tiada dia akan melukis ... tapi sejak kebelakangan ni dia mula menyalin semula latihan-latihan yang guru beri atau data-data yang ada di dalam buku teks. Pernah baru-baru ni dia menulis dari tengahari sampai ke malam, tenggelam di dalam dunia dia sendiri.
Masa awal tahun dia tak berapa pandai membaca, masa pra tahun lepas memang seronok main je, kita orang galakkan dia mula dengan buku cerita bahasa Melayu. Bila dia dah laju, dia makin suka dan sentiasa minta dibelikan buku. Dah pandai bahasa Melayu aku pujuk dia membaca buku bahasa Inggeris pula. Dia rasa dia tak mampu. Namun baru-baru ni dia cuba membaca satu buku cerita ... tentang Heidi ... terkial-kial, merangkak-rangkak dia nak habiskan mukasurat pertama yang tak sampai 100 pun perkataan. Dia cuba jugak sampai habis. Malam tadi dalam movie tu ada seorang wanita berkata, "Why don't you just check upstairs." Haifa tiba-tiba bertanya apa makna just. Aku bagitahu maksudnya 'hanya'. Tak perasan pulak kenapa dia bertanya macam tu. Haifa terjemahkan ayat yang dia dengar tadi, "kenapa awak hanya periksa di atas," ... oooh, silap aku. Aku perbetulkan di dalam konteks ayat tu, maksud 'Just' adalah sahaja. Dia pun ubah ayat menjadi, "kenapa awak tak periksa di atasa sahaja" ... haaa, betul dah tu, sangat pandai ... tersenyum dia bila aku puji ... dah bertubi-tubi dia mintak terjemahan ... mata aku dah layu ... lagipun cerita tu aku dah tengok ... aku ngereng ke kiri dan biarkan Haifa menonton sendirian, aku pasang telinga je Sesekali dia bertanya, aku pun memberi penjelasan ... agaknya dia pun dah mengantuk, terus dimatikan TV dan entah bila pulak kami berdua terlena, sedar-sedar malam sudah berginjak ke subuh dan bermulalah sehari lagi perjalanan hidup .... mohon izin berhenti seketika ...
No comments:
Post a Comment